SHAH ALAM – Penyedia platform e-dagang perlu memperkukuh pengesahan identiti penjual serta meningkatkan pemantauan bagi mengesan dan mengambil tindakan pantas terhadap penyenaraian barangan terlarang, berbahaya atau tidak mematuhi undang-undang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, perkara itu antara tumpuan sesi libat urus bersama penyedia platform berkenaan serta kementerian dan agensi berkaitan.
“Sesi ini merupakan tindakan susulan terhadap kebimbangan awam berkaitan keselamatan pengguna dan pematuhan undang-undang dalam ekosistem e-dagang.
“Ia juga selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengenai keperluan memperkukuh kawal selia melalui kerjasama antara kementerian, agensi penguatkuasaan dan penyedia platform,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurut MCMC, sesi itu merupakan tindakan susulan terhadap kebimbangan awam berkaitan keselamatan pengguna dan pematuhan undang-undang dalam ekosistem e-dagang.
Pada masa sama, ia turut menekankan keperluan mewujudkan persekitaran perniagaan yang seimbang antara perniagaan dalam talian dan premis fizikal.
“Perbincangan turut mengambil kira maklum balas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor peruncitan mengenai kesan perkembangan e-dagang terhadap perniagaan, termasuk implikasinya kepada industri kurier.
“Usaha ini bagi memenuhi keperluan mekanisme kerjasama yang lebih tersusun antara platform dan agensi kerajaan, memastikan siasatan serta tindakan penguatkuasaan dilakukan agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing, tertakluk kepada undang-undang yang terpakai.
“MCMC akan meneruskan penyelarasan bersama kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri bagi memastikan langkah susulan praktikal dalam memperkukuh perlindungan pengguna, pematuhan undang-undang dan akauntabiliti platform ke arah ekosistem e-dagang yang lebih selamat dan dipercayai,” ujarnya.
Sesi libat urus itu melibatkan penyedia platform e-dagang termasuk Grab, Lazada Malaysia/Alibaba, Facebook Marketplace, Pinduoduo, SHEIN, Shopee Malaysia dan TikTok Shop, selain kementerian serta agensi berkaitan.



