Platinum Mall Kota Bharu jadi hab pemborong di pantai timur

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui Tekun Nasional mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan hab pemborongan usahawan Bumiputera Tekun Nasional di Platinum Mall Kota Bharu, Kelantan.

Platinum Mall Kota Bharu dijangka dapat menyokong pembangunan usahawan dalam meluaskan pasaran dan meningkatkan skala perniagaan.

Hab pemborongan ini juga secara tidak langsung dapat menggalakkan ekonomi setempat serta memberi manfaat kepada usahawan di negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan utara Perak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, melalui Platinum Mall, usahawan Bumiputera akan ditempatkan di bawah satu bumbung bagi menjalankan perniagaan berkonsepkan borong khususnya usahawan di negeri pantai timur.

“Platinum Mall setinggi enam tingkat ini dengan keluasan 412,686 kaki persegi akan dapat menyediakan 1,700 lot kedai kepada usahawan khususnya usahawan pantai timur.

“Diharapkan Platinum Mall ini akan menjadi hab pemborongan yang terbesar di pantai timur seperti pusat pemborongan Kenanga di Kuala Lumpur dan GM Klang.

“Pelbagai fasiliti disediakan di dalam Platinum Mall bagi usahawan dan masyarakat setempat seperti pejabat agensi kerajaan yang berkaitan dengan keusahawanan dan institusi kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, usahawan yang sudah menerima surat tawaran penyewaan boleh masuk ke ruang premis masing-masing mulai bulan ini bagi urusan persediaan pembukaan Platinum Mall pada bulan depan.

Platinum Mall juga akan menjadi pusat jualan dan pasaran produk usahawan Tekun Nasional dan usahawan Bumiputera lain.

Antara produk yang akan dipasarkan termasuk pakaian, barangan kesihatan, kelengkapan bayi dan kanak-kanak, kelengkapan rumah, aksesori wanita, gajet, aksesori telefon bimbit, beg dan kasut.

Bagi membantu usahawan yang berminat untuk berniaga di Platinum Mall, Tekun Nasional menyediakan bantuan pembiayaan melalui pakej pembiayaan yang ditawarkan dengan nilai maksimum sehingga RM100,000.

Selain itu, Tekun Nasional turut menawarkan pembekalan produk dan barangan melalui Tekun Corporation.

Usahawan yang berminat untuk berniaga di Platinum Mall boleh mendapatkan maklumat lanjut di [email protected] atau e-mel, [email protected].