PLUS galak pengguna rancang perjalanan guna MyPLUS-TTA

PLUS galak pengguna rancang perjalanan guna MyPLUS-TTA

rnoraina@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Pengguna lebuh raya PLUS yang menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA masih rendah dengan hanya kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan 2.2 juta kenderaan melalui lebuh raya berkenaan.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, aplikasi itu yang diperkenalkan tiga tahun lalu adalah pendekatan digital pihaknya untuk membantu orang ramai merancang dan memilih perjalanan yang paling sesuai di waktu puncak dan musim perayaan.

“Setakat ini ada lebih kurang 30 peratus yang menggunakan aplikasi itu, cuba bayangkan lebih ramai yang guna mungkin lebih 50 peratus. Saya yakin ia akan menambah kelancaran trafik.

“Kita galakkan orang ramai menggunakan MyPLUS-TTA untuk mengetahui jadual perjalanan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas pada musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) ini.

“Berdasarkan data mendapati waktu sesuai memulakan perjalanan sebelum 8 pagi dan waktu paling puncak pada 10 pagi, bergantung kepada lokasi mula perjalanan,” katanya dalam sidang media selepas Jelajah Media Ke Wilayah Tengah Lebuhraya PLUS di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi; Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran dan Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.

Nik Airina menasihati orang ramai yang akan memulakan perjalanan sempena cuti perayaan ini merancang perjalanan lebih awal bagi menikmati perjalanan yang lancar di lebuh raya.

Menurutnya, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dengan memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi perjalanan antara 11 Februari hingga 22 Februari ini.

Berdasarkan data pola perjalanan musim perayaan TBC tahun lalu, katanya, pengguna lebuh raya mengalami peningkatan tempoh waktu perjalanan semasa musim perayaan sekiranya memilih perjalanan di luar cadangan waktu perjalanan MyPLUS-TTA (bergantung kepada keadaan trafik semasa, insiden atau hal luar jangka).

“Kita menyeru orang ramai supaya merancang dan menyusun jadual perjalanan berdasarkan MyPLUS-TTA bukan saja bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang tetapi juga perjalanan kembali semula ke Lembah Klang selepas bercuti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PLUS turut mengaktifkan SmartLane di 32 lokasi yang dikenalpasti akan mengalami peningkatan trafik sepanjang musim perayaan ini terutama pada hari puncak antara 12 hingga 14 Februari.

Tambahnya, alternatif yang dilaksanakan PLUS itu berjaya mengatasi kesesakan teruk di kawasan tertentu termasuk kawasan panas yang kerap berlaku kemalangan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna supaya tidak memandu laju di laluan SmartLane, mematuhi arahan lalu lintas, memandu secara berhemah ketika menggunakan serta tidak menggunakan lorong kecemasan di luar lokasi pengaktifan SmartLane.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top