PLUS, Yinson GreenTech bangun hab pengecas EV di R&R Seremban

PLUS, Yinson GreenTech bangun hab pengecas EV di R&R Seremban

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Yinson GreenTech Malaysia menjalin kerjasama bagi membangunkan hab runcit dan pengecasan kenderaan elektrik (EV) bersepadu di beberapa lokasi terpilih sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, perjanjian itu dimeterai menerusi anak syarikat masing-masing, Terra PLUS Sdn. Bhd. dan Green EV Charge Sdn. Bhd.

“Pembangunan pertama akan dilaksanakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan dan menjadi pencapaian penting dalam mentransformasikan lebuh raya kepada destinasi masa hadapan yang memenuhi keperluan pengguna EV.

“Menerusi kerjasama itu, PLUS akan mengetuai pembangunan serta pengurusan komponen runcit merangkumi makanan dan minuman (F&B), manakala Yinson GreenTech bertanggungjawab memasang, mengoperasi serta mengurus pengecas EV,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, hab tersebut akan meningkatkan pengalaman pengecasan EV dengan menampilkan pengecas pantas arus terus (DC) yang boleh dipercayai.

“Ia turut menawarkan kemudahan F&B untuk dinikmati pemilik EV semasa menunggu kenderaan mereka dicas.

“Hab tersebut juga selari dengan sasaran Malaysia mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” ujarnya.

Menurut beliau, kolaborasi itu adalah langkah strategik menyokong Pelan Mobiliti Karbon Rendah Negara 2030 (LCMB).

“Ia juga menyokong aspirasi kami ke arah lebuh raya lestari pintar demi meningkatkan pengalaman perjalanan pelanggan. Hab EV R&R Seremban akan menjadi yang pertama di sepanjang NSE dan dijangka siap menjelang tahun 2027.

“Setakat ini, sebanyak 112 pengecas pantas DC telah diaktifkan di lebuh raya PLUS, sekali gus melebihi sasaran tahun 2025. Hab berkenaan bukan sekadar kemudahan pengecasan EV, malah mentransformasikan perkhidmatan mobiliti dan gaya hidup di R&R lebuh raya negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yinson GreenTech, Lim Chern Yuan berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan PLUS bagi menjayakan usaha menjadikan pengecas EV lebih mudah diakses.

“Hab yang dibangunkan ini bertujuan menyelesaikan cabaran dihadapi pemandu EV seperti kebimbangan terhadap jarak perjalanan dan kekurangan kemudahan pengecasan.

“Pemasangan pengecas pantas dan boleh dipercayai di lokasi strategik akan menyokong pertumbuhan mobiliti hijau negara. Kami komited membantu mempercepatkan penggunaan EV serta menyokong sasaran kerajaan memasang 10,000 titik pengecasan di seluruh negara,” jelasnya.

Scroll to Top