PM akui masih ada kebimbangan pelaksanaan pelaburan besar dalam negara

PM akui masih ada kebimbangan pelaksanaan pelaburan besar dalam negara

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akui masih wujud kebimbangan segelintir pihak berkenaan pelaksanaan pelaburan besar dalam negara ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan memastikan projek berkenaan akan dilaksanakan melalui pemantauan yang dilakukan oleh kementerian yang terlibat.

“Untuk pelaksanaan itu, kadang-kadang ada disuarakan kebimbangan. Bila diluluskan, yang disebut ease of doing business itu kadang-kadang masih ada masalah. Itu saya sudah menetapkan supaya kita lakukan perubahan yang mendadak.

“Bukan saja (wujudkan) one stop centre (pusat sehenti) di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tetapi Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) di bawah Menteri MITI dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM)… ini akan memastikan projek ini diluluskan dengan kadar segera,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (Gopeng – PH) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan memberi tumpuan meningkatkan keupayaan kemahiran tenaga tempatan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Jelasnya, ia demi memenuhi permintaan tenaga kerja dalam industri yang dijana melalui pelaburan besar kepada negara.

“Soal ekosistem ini benar. Perbincangan kita dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk, Tesla, Geely dan Infinion yang melabur lima bilion euro di Kulim Hi-Tech, semua menyatakan sementara tahap latihan kejuruteraan kita itu memuaskan, tetapi ada yang kurangnya kemahiran yang patut kita berikan perhatian.

“Saya sudah sampaikan amanat ini kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Naib Canselor (di universiti) supaya memberikan laluan dan tumpuan dalam penerokaan bidang baharu ini termasuk pengkhususan dalam bidang AI. Geely menyebut sementara jurutera kita di tahap sangat baik, (namun masih) memerlukan tahap kepakaran khusus dalam bidang automotif dan industri,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Scroll to Top