Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan wujud cubaan untuk jatuhkan kerajaan yang didakwa didukung warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka.
Cubaan jatuhkan kerahaan guna pengaruh media
Memetik laporan daripada Bernama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai serta menggugat kerajaan sedia ada.
Menurut laporan awal, syarikat, badan dan tokoh yang terlibat telah mengadakan enam perjumpaan sepanjang 2025, sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Dalam tempoh itu, strategi mereka untuk mendapatkan maklumat dan mempengaruhi melalui meja bulat antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, dan seterusnya menggerakkan international push. Kemudian, maklumkan Bloomberg (media antarabangsa) bagi tindakan selanjutnya.
“Strategi mereka seterusnya ialah menghubungi semua media asing dengan strategi mempertikai usaha kerajaan, khususnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) serta menggunakan kekuatan dan kontak dengan negara-negara luar dengan tujuan memberi naratif mempertikai kewibawaan negara dan kerajaan,” katanya.

Gerakan jatuhkan kerajaan melalui media antarabangsa
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata gerakan jatuhkan kerajaan itu turut berusaha menerbitkan artikel melalui media antarabangsa bagi menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi negara, selain menggunakan hubungan bersama Ahli Parlimen untuk mencipta naratif tertentu.
“Disebut di situ untuk memanfaatkan hubungan antara ahli Parlimen untuk menggugat, menetapkan dan mempengaruhi soalan-soalan yang akan dibangkitkan di Parliament tentang isu ini.
“Kemudian memuji, cari jalan menggunakan seluruh rangkaian media antarabangsa, khususnya Bloomberg untuk memuji tokoh tertentu yang sedang dalam siasatan, termasuk kes rasuah, serta mendesak supaya individu berkenaan diberikan penghormatan dan pujian,” katanya.

Mungkin didorong beberapa siri siasatan SPRM
Anwar juga memaklumkan cubaan itu dipercayai didorong oleh beberapa siri siasatan berskala besar yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini bukan hanya kes spesifik, bukan sekadar isu mengkritik Perdana Menteri atau gerakan mempertahankan seorang tokoh, tetapi turut mempertikai seluruh sistem dalam negara dengan tujuan menjatuhkan kerajaan.
“Betul dia nak angkat kedudukan tokoh tersebut, tetapi berdasarkan laporan itu, yang dipersoalkan adalah keseluruhan sistem negara ini. Jadi, isu ini tidak terikat dengan mana-mana parti, sebaliknya melibatkan soal keselamatan negara,” katanya.

Artikel lain: Isu saham Azam Baki: PM Anwar minta jangan buat tohmahan! Biar siasatan dapatkan fakta
Beliau turut memberi jaminan bahawa pilihan raya akan dilaksanakan secara telus tanpa campur tangan asing dan berharap isu ini dapat dibincangkan secara menyeluruh demi kepentingan negara.
Sumber: Bernama



