PM Anwar lulus lebih RM20 juta untuk Kem PGA Kulim, sekolah pondok

PM Anwar lulus lebih RM20 juta untuk Kem PGA Kulim, sekolah pondok

Kulim: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan segera berjumlah RM18 juta bagi kerja-kerja menaik taraf sistem perpaipan dan pendawaian di Batalion Kedua Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim.

Beliau berkata peruntukan berkenaan membabitkan RM10 juta untuk memulihkan bekalan air di kem itu, sementara RM8 juta lagi bagi membaik pulih sistem pendawaian.

“Tadi, sebelum saya masuk (ke dalam kem), saya pergi jumpa dan tanya rakan-rakan anggota (PGA). Saya tanya macam mana keadaan, memang mereka kata air pakai catuan. (Sudah) 2026, mereka berhempas-pulas di lapangan, (apabila) pulang mereka fikirkan catuan air, oleh itu untuk RM10 juta, kita luluskan segera.

“Kemudian, untuk pendawaian RM8 juta kita luluskan. Jadi, RM10 juta untuk air dan RM8 juta pendawaian. Ini kes khas di sini kerana saya datang, mereka kata air tidak ada,” kata Anwar semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM2.69 juta untuk membaiki sekolah-sekolah pondok di negeri ini.

“Jadi, untuk Kedah, kita kenal pasti bagi seluruh negeri peruntukan segera ada 15 projek kecil untuk sekolah pondok dibaiki,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus bertindak tegas bagi menangani ketirisan dan rasuah di negara ini.

Kerajaan, kata beliau, berjaya mengutip hasil hingga mencecah RM15.5 bilion susulan tindakan tegas berkenaan walaupun tindakan itu menimbulkan rasa tidak senang bagi sesetengah pihak.

“Sebelumnya tidak dikutip, ke mana wang itu? Kalau kita boleh kutip RM15 bilion dalam tempoh dua tahun, ke mana wang itu yang kita tidak kutip sebelumnya? Ini soalan yang mesti kita jawab, kalau kita tidak mahu ulang kesilapan dulu, mesti kita terus tegas dengan tindakan.

“Saya katakan (tindakan ini) tidak popular sebab orang-orang yang terkesan bukan orang kecil. Ramai yang punya dana besar yang boleh mempengaruhi media antarabangsa, boleh mempengaruhi media sosial, boleh mempengaruhi orang-orang politik dalam pelbagai parti.

“Saya bukan maksudkan pembangkang, (tetapi) semua, kerana dana yang besar itu mempengaruhi dan ini yang kita saksikan sekarang,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar berwaspada dan tidak terjebak sehingga menjadi perkakas kepada pihak tidak bertanggungjawab kerana negara harus dipelihara, sekalipun berbeza pendapat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top