Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum sepanjang menerajui pentadbiran negara.
Tidak pinggirkan mana-mana kaum

Memetik laporan Kosmo, Anwar berkata, tanggungjawab sebagai ketua kerajaan menuntut beliau memastikan kebajikan seluruh rakyat sentiasa terbela tanpa mengira bangsa mahupun latar belakang.
“Kerajaan akan terus membantu komuniti di seluruh negara secara adil dan saksama. Pemimpin negara mesti jaga semua. Tidak boleh pilih kasih. Semua rakyat berhak dibela.
“Semangat perpaduan yang sedia terjalin ketika ini perlu terus diperkukuh dengan sikap saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain demi memastikan Malaysia kekal aman dan stabil,” kata Anwar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Khantan Bharu, Tambun, Ipoh, semalam.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mengingatkan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kesatuan masyarakat berbilang kaum yang sekian lama menjadi tunjang kestabilan negara.

“Malaysia sebagai sebuah keluarga besar yang dihuni pelbagai kaum, budaya dan agama perlu hidup dalam suasana saling menghormati dan harmoni.
“Keamanan dan kestabilan negara adalah syarat utama untuk memastikan pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dinikmati bersama,” katanya lagi.
Artikel lain: Hormat masyarakat Cina, PM Anwar umum peruntukan tambahan RM20 juta buat SMJKC

Terdahulu, beliau mengumumkan peruntukan tambahan RM20 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) bagi tujuan pembaikan, naik taraf serta penyelenggaraan kemudahan asas mengikut keperluan sekolah.
Untuk info, peruntukan ini merupakan tambahan kepada RM80 juta yang telah diluluskan kerajaan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pada Januari lalu sempena Perutusan Tahun Baharu 2026, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kepada sekolah aliran Cina mencecah RM100 juta.
Sumber: Kosmo (Megat Lutfi Megat Rahim)




