PM Anwar tegur tokoh agama guna kedudukan cetus polemik, ingatkan soal perpaduan

PM Anwar tegur tokoh agama guna kedudukan cetus polemik, ingatkan soal perpaduan

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegur segelintir pihak yang menggunakan kedudukan sebagai tokoh agama untuk menimbulkan permasalahan sekali gus memecah-belahkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Tokoh agama jangan cetuskan polemik

Memetik laporan daripada Harian Metro, beliau menyatakan tindakan berselindung di sebalik nama agama hanya mencetuskan polemik serta merosakkan keharmonian dan usaha membangunkan negara.

Ingatkan tentang perpaduan kepada tokoh agama

Walaupun Islam adalah agama Persekutuan, beliau menegaskan hak serta kebebasan beragama untuk kaum lain tetap terjamin seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Malaysia ini Islam adalah agama Persekutuan, (majoriti rakyatnya) beragama Islam. Tetapi kita terima hak semua kaum dan semua agama dan kita setuju ikrar untuk jamin masa depan dengan aman, bersama semua kaum dan hak semua agama.
“Baru boleh aman. Jadi bagi saya majoriti termasuk pemimpin-pemimpin agama itu perlu mengambil sikap positif,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.

Artikel lain: PM Anwar pertahan penjawat awam -“Salah kita baiki, jangan beri gambaran seolah semua buruk”

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik peluncuran program kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan serta Hal Ehwal Agama yang dilihat memberi fokus kepada masa depan negara.

“Ini menteri, baru nampak idea dia hebat, dia pakat (kerjasama) pula dengan menteri agama. Jadi saya senang bila begitu, kita ada tokoh-tokoh muda yang tidak sibuk dalam isu yang memecah belahkan tapi gunakan Ramadan dan Madrasah untuk mengangkat darjat kemanusiaan dan keimanan kita.
“Ia secara positif adalah sesuatu yang membina kerana dalam negara ini bagilah fakta baik sebanyak mana pun, STR (Sumbangan Tunai Rahmah), SARA, pertumbuhan yang tinggi, pengangguran yang rendah, inflasi yang rendah, pelaburan yang tinggi tetapi semua itu akan terpadam kerana kita tumpu hanya pada permasalahan titik bengik yang boleh memecahkan di antara kita,” katanya lagi.

Scroll to Top