PM Anwar umum MOF lulus peruntukan tambahan RM500 juta kepada KKDW

PM Anwar umum MOF lulus peruntukan tambahan RM500 juta kepada KKDW

Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) susulan perbelanjaan projek jalan luar bandar yang melebihi peruntukan asal.

Diluluskan menerusi penjimatan yang dikenal pasti

Memetik laporan daripada Berita Harian, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan peruntukan tambahan itu diluluskan menerusi penjimatan yang dikenal pasti daripada perbelanjaan pembangunan kementerian lain.

Menurut Perdana Menteri itu, MOF turut mengarahkan KKDW pada 10 September lalu supaya menggantung pengeluaran surat setuju terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat.

“KKDW telah membuat komitmen dan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah asal yang diluluskan menerusi Belanjawan tahunan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menyebabkan tunggakan serta kelewatan pembayaran kepada kontraktor,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Dalam pada masa yang sama, Anwar turut menyatakan kerajaan meningkatkan peruntukan tahunan bagi projek jalan luar bandar kepada lebih RM2 bilion menerusi Belanjawan 2026 dan Belanjawan 2027.

Walau bagaimanapun, jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung komitmen kontrak sedia ada KKDW.

Sehubungan itu, MOF meminta kementerian berkenaan menyediakan unjuran keperluan pembiayaan projek jalan luar bandar sehingga akhir tahun ini dan sepanjang 2027 berdasarkan kontrak yang telah diberikan, bagi menentukan jumlah tambahan dana yang diperlukan.

Anwar menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab berhubung dakwaan pelanggaran prosedur kewangan melibatkan perbelanjaan melebihi peruntukan berjumlah RM2.1 bilion antara 2023 hingga 2025.

Mengenai pelantikan kontraktor pula, beliau menjelaskan bahawa projek jalan luar bandar lazimnya dilaksanakan menerusi proses tender, termasuk tender terbuka dan Tender Terbuka Pra-Kelayakan (TTPKT).

Ujarnya, MOF memperkenalkan TTPKT pada 2023 sebagai prosedur khas bagi mempercepat pelaksanaan projek.

Namun begitu, Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 2/2025 mendapati pelaksanaan TTPKT, termasuk oleh KKDW, gagal mencapai objektif asal yang ditetapkan kerajaan.

“Sehubungan itu, MOF turut menghentikan kelulusan penggunaan TTPKT oleh KKDW bagi projek baharu,” katanya.

Sumber: Berita Harian (Luqman Hakim dan Nor Ain Mohamed Radhi)

Scroll to Top