rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan, yang mengakibatkan lebih 50 tetamu kenduri perkahwinan terjatuh ke dalam sungai, semalam.
Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini, menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada kesemua mangsa terbabit kejadian, khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji musibah.
Susulan itu, Perdana Menteri mengarahkan supaya jambatan berkenaan diganti segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat.
“Kerja penggantian jambatan itu akan dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi berkaitan.
“Ia bagi memastikan tindakan pantas, berkesan serta menjamin keselamatan dan akses penduduk setempat,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan sebuah titi gantung tiba-tiba runtuh menyebabkan lebih 50 tetamu kenduri perkahwinan terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai.
Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd Zaki Saari dilaporkan berkata, kejadian berlaku pada jam 2 petang ketika rombongan pengantin lelaki dari Pasir Puteh dalam perjalanan pulang, manakala tetamu pengantin perempuan pula baru tiba ke kenduri dan mereka bertembung di atas titi sebelum ia runtuh.
Akibat kejadian itu, dia dilaporkan berkata, seorang lelaki mengalami patah kaki selepas terjatuh di atas batu sungai, manakala seorang kanak-kanak cedera di kepala menerima beberapa jahitan dan tiga lagi mengalami luka ringan serta sesak nafas.
Katanya, titi gantung itu sudah dibaiki beberapa kali sebelum ini kerana ia adalah kemudahan utama kepada penduduk di lima buah rumah di kawasan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




