PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian supaya melakukan sesi libat urus bersama industri di bawah kementerian masing-masing susulan pergolakan di Asia Barat.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dimaklumkan Perdana Menteri pada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, di sini hari ini.
“Hasil daripada sesi-sesi libat urus itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa ini.
“Wakil-wakil industri juga akan dijemput melakukan pembentangan bagi pihak industri masing-masing pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, selain sesi libat urus itu, beberapa ikhtiar lain sedang diteliti termasuk meneliti cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) bagi penjawat awam.
Fahmi berkata, Perdana Menteri juga telah meminta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk meneliti cadangan itu sebelum diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri Selasa depan.
Katanya, mesyuarat hari ini khusus membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi yang terkait dengan konflik di Asia Barat antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran. – UTUSAN




