fahmy.azril@bh.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bekerjasama rapat dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selepas sistem syarikat berkenaan digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata Perdana Menteri lantas mengingatkan semua pihak untuk memperkasakan keupayaan dalam kalangan pakar tempatan bagi mengelak kebergantungan penuh terhadap sumber kepakaran asing.
Beliau menegaskan bahawa saranannya itu mustahak dalam memastikan bukan sahaja dapat menjamin keyakinan pelabur, bahkan rakyat terhadap reputasi negara ini.
“Terkait insiden keselamatan siber membabitkan MAHB, Perdana Menteri mengarahkan NACSA dan MKN untuk bekerjasama rapat dengan MAHB sejak insiden ini dilaporkan beberapa hari lalu.
“Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan hanya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini.
“Insiden ini menunjukkan bahawa keupayaan tempatan untuk mengendalikan insiden keselamatan siber harus sentiasa pada tahap terbaik. Kerjasama pasukan kerajaan dan industri harus seiring agar keupayaan menjaga infrastruktur kritikal negara daripada sebarang ancaman sentiasa berada pada tahap tinggi.
“Keupayaan, kapasiti dan kompetensi pakar tempatan harus terus diperkukuh agar kebergantungan kepada pihak asing dalam mengurus sistem kritikal negara dapat diminimumkan.
“Kesiapsiagaan pakar tempatan dalam berhadapan dengan sebarang insiden keselamatan siber akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Madani. Ini jaminan supaya keyakinan rakyat serta pelabur terhadap negara sentiasa pada tahap yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) kelmarin, Perdana Menteri mendedahkan bahawa penggodam sistem digital MAHB menuntut AS$10 juta (RM44.3 juta) dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan kerajaan di bawah pentadbirannya sesekali tidak akan melayan tuntutan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




