PM arah segera selesai isu murid SK Balaban Jaya belajar di bawah khemah

PM arah segera selesai isu murid SK Balaban Jaya belajar di bawah khemah

nurhanim.osman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk laksana penyelesaian segera isu murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya di Sabah yang terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di bawah khemah serta di kaki lima masjid.

Katanya, perkara itu amat memberi kesan dan tindakan segera wajib dilaksanakan.

“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada KPM dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk penyelesaian segera.

“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini, sambil memuat naik laporan berkaitan sekolah berkenaan oleh The Borneo Post.

Dalam laporan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook menggesa KPM di peringkat negeri dan Persekutuan supaya segera menangani nasib murid di sekolah berkenaan yang dilaporkan terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di ruang sementara yang tidak sesuai.

Beliau dilaporkan berkata, bilik darjah di sekolah itu ketika ini hanya menggunakan khemah tanpa dinding serta laluan di sebuah masjid, berikutan ketiadaan bangunan kekal yang lengkap.

“Kanak-kanak ketika ini terpaksa belajar di lokasi sementara di masjid, ada yang di laluan, terdedah kepada hujan ketika cuaca basah dan berada di bawah khemah dalam keadaan panas ketika ini.

“Keadaan ini amat menyentuh hati apabila melihat anak-anak kita terpaksa belajar dalam situasi sedemikian. Bayangkan jika anak anda sendiri terpaksa belajar dalam keadaan seperti ini. Apakah perasaan anda?” kata Tham.

Dilaporkan, ADUN itu menerima aduan daripada ibu bapa yang bimbang dengan keadaan sedemikian yang didakwa menjejaskan keselesaan serta persekitaran pembelajaran murid.

Tham juga berkata, beliau dimaklumkan bahawa KPM memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi pembinaan bangunan sekolah kekal, namun projek berkenaan didakwa mengambil masa berikutan proses tender serta tempoh pembinaan yang boleh berlanjutan selama beberapa bulan hingga setahun.

Susulan itu, Tham menggesa supaya langkah interim segera diambil bagi menangani keperluan mendesak pelajar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top