PM Australia janji tambah jumlah vaksin

PM Australia janji tambah jumlah vaksin

Hanya 4% daripada populasi dewasa Australia yang berjumlah 20 juta telah divaksinasi sepenuhnya. (Gambar AP)

SYDNEY: Negeri dan wilayah di Australia akan mendapat lebih banyak dos vaksin Covid-19 tidak lama lagi, demikian kata Perdana Menteri Scott Morrison hari ini selepas negara itu berdepan beberapa halangan dalam kempen imunisasinya.

Negeri-negeri di Australia telah meminta tambahan bekalan vaksin setelah Australia mengumumkan perubahan dasar minggu lalu yang mengesyorkan suntikan AstraZeneca untuk penerima berusia 60 tahun ke atas sahaja.

Ia berikutan kebimbangan membabitkan dakwaan pembekuan darah, sehingga mengganggu kelancaran program vaksinasi itu.

“Mereka semua akan mendapat dos tambahan … ia akan meningkat kembali pada Julai apabila dos tambahan Pfizer diedarkan,” kata Morrison kepada stesen radio 2GB hari ini.

Morrison bagaimanapun tidak menyatakan jumlah suntikan yang akan diperoleh setiap negeri.

Pihak berkuasa kesihatan berkata pemberian vaksin Pfizer ketika ini “beroperasi dalam keadaan kekurangan sumber” tetapi pengedarannya dijangka akan dipercepatkan menjelang Ogos ini.

Australia terpaksa bergantung kepada bekalan Pfizer dari luar negara manakala AstraZeneca dihasilkan secara tempatan.

Pihak berkuasa menjangkakan akan menghantar 2.3 juta dos Pfizer ke negeri-negeri pada bulan ini dan 3.4 juta pada bulan depan.

Hanya 4% daripada populasi dewasa Australia yang berjumlah 20 juta telah diberi vaksin sepenuhnya sementara lebih dari 25% sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka.

Sebanyak 6.5 juta dos suntikan telah diberikan setakat ini.

Nasib Australia adalah jauh lebih baik berbanding banyak negara maju dalam mengawal wabak itu, dengan hanya lebih 30,300 kes dan 910 kematian.

Scroll to Top