PM Britain jalani kuarantin, kontak rapat pesakit COVID-19

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson hanya akan melaksanakan tugas rasmi kerajaan yang diperlukan sahaja, selepas disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Jurucakap Downing Street berkata, Johnson dan Menteri Kewangan, Rishi Sunak disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit terbabit, namun masih boleh melaksanakan tugas rasmi masing-masing berikutan mengambil bahagian dalam projek perintis kerajaan.

“Perdana Menteri dan canselor sudah dihubungi Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaaan (NHS) berikutan menjadi kontak rapat pesakit COVID-19.

“Mereka akan menjalani ujian harian, iaitu projek perintis bagi membolehkan mereka bertugas dari Downing Street.

“Mereka hanya akan melaksanakan tugas perlu sahaja sepanjang tempoh itu,” katanya.

Perkara itu berlaku ketika kerajaan Johnson bersedia melonggarkan beberapa sekatan di England.

Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid semalam mengesahkan dirinya dijangkiti COVID-19 dan kini menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari.

Terdahulu, Javid menghadiri mesyuarat yang panjang bersama Johnson pada Jumaat lalu.

Malah, beliau turut hadir bersama beberapa menteri di Parlimen pada minggu lalu.

Buat pertama kali kes positif COVID-19 di Britain meningkat melebihi 50,000 sejak Januari lalu, malah Javid memberi amaran bahawa angka itu mungkin bertambah dalam tempoh beberapa minggu akan datang. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd