PM ikhlas perjuang isu Palestin, tidak berniat alih tumpuan rakyat – Razali – Utusan Digital

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris mempertahankan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperjuangkan isu hak rakyat Palestin.

Beliau menegaskan, pendirian negara terhadap Palestin tidak bermakna kerajaan sengaja mengalihkan tumpuan rakyat yang sedang bergelut dengan peningkatan kes Covid-19, sebaliknya menganggap isu Palestin sebagai isu yang serius.

“Pendirian Malaysia tidak ada kena-mengena dengan pandemik Covid-19 kerana ia adalah dua isu yang sangat berbeza. Isu yang berlaku di bumi Palestin bukannya diminta tetapi akibat kerakusan dan kekejaman Israel yang dirancang dan berulang-ulang.

“Maka tidak berasas langsung andainya dakwaan bahawa Perdana Menteri cuba mengalih persepsi rakyat Malaysia dalam permasalahan dalaman negara seperti pandemik Covid-19. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa fokus dalam apa jua bentuk demi kesejahteraan rakyat dan prihatin dengan permasalahan sejagat,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Teng Chang Khim mengkritik Muhyiddin berhubung pendirian tegas negara terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin adalah satu perbuatan biadab dan tidak patriotik.

“Kritikan kurang ajar Teng Chang Khim yang juga seorang exco kerajaan negeri Selangor tidak melambangkan keperibadian beliau sebagai seorang exco, ADUN dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan kedamaian sejagat.

“Anda patut malu dengan diri sendiri dan malu kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Justeru, saya mendesak Teng Chang Khim memohon maaf kepada Muhyiddin, kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia serta menarik balik kenyataan biadab beliau,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Chang Khim merupakan ejen provokasi kerajaan Israel yang mencuba memanipulasikan keadaan semasa termasuk mengkritik kerajaan PN.

“Adakah tindakan pemimpin DAP dan parti DAP mempunyai kaitan langsung dengan arahan negara haram Israel bagi menganggu-gugat ketenteraman awam, kestabilan politik dan keselamatan negara seperti Malaysia yang menyokong kuat kepada perjuangan dan kemanusiaan rakyat Palestin ?

“Saya pohon kepada Kementerian Dalam Negeri menyiasat tindak-tanduk pemimpin DAP yang mungkin menjadi boneka kepada negara haram Israel. Saya mengulangi pendirian tegas supaya jangan ada pihak-pihak tertentu yang mencuba menganggu-gugat keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Scroll to Top