PM Ismail Sabri ucap tahniah kepada Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Raja Thailand, selepas menewaskan tuan rumah Thailand 5-3, menerusi penentuan sepakan penalti.

Perdana Menteri berharap aksi sama dapat dipamerkan skuad kendalian Kim Pan Gon itu, apabila bertemu Tajikistan pada perlawanan akhir, Ahad ini.

“Ayuh Keluarga Malaysia, sama-sama kita terus memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya untuk menjulang Piala Raja Thai!,” katanya dalam catatan di Facebook.

Pada perlawanan di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, Thailand, malam semalam, La’Vere Corbin-Ong berjaya meletakkan Malaysia di hadapan, sebelum Thailand menyamakan kedudukan menerusi Pansa Hemviboon pada minit akhir 90 minit perlawanan dan memaksa pemenang perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Dijadual berlangsung di venue sama Ahad ini, skuad negara bakal berdepan Tajikistan pada final Piala Raja Thailand selepas pasukan itu menewaskan Trinidad & Tobago dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Malaysia pernah menjulang piala berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.