PM, isteri dan delegasi Malaysia berlepas ke Turkiye

PM, isteri dan delegasi Malaysia berlepas ke Turkiye

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi Malaysia berlepas ke Turkiye bagi rangka lawatan rasmi yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Menurut Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri, lawatan rasmi pertama Anwar yang berlangsung hingga Khamis ini.

“Moga misi pasukan diplomasi negara ke Republik Turkiye berjalan lancar, mempererat persahabatan yang terjalin dan membuka lembaran kerjasama lebih luas demi kemakmuran negara dan rakyat, Insya-Allah.

“Semoga segala urusan dipermudahkan, insya-Allah,” katanya dalam satu video pendek yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri akan dianugerahkan ‘Order of the Republic’, anugerah tertinggi Turkiye kepada pemimpin luar sempena lawatan rasminya ke negara itu yang bermula hari ini.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Turkiye yang kini berada pada tahap strategik.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal dilaporkan berkata, anugerah berprestij itu akan disampaikan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden, esok.

Katanya, Order of the Republic dianugerahkan kepada ketua kerajaan asing yang berjaya memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye.

Sazali berkata, anugerah kepada Anwar itu mencerminkan pengiktirafan Turkiye terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam mempererat hubungan diplomatik, politik dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia disertai beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top