Tokyo: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida meneruskan kempen pada Sabtu selepas dipindahkan dengan selamat tanpa kecederaan dari tempat kejadian letupan bom asap.
Insiden di Wakayama dekat barat Jepun berlaku kurang setahun selepas pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe yang menyebabkan negara itu trauma dan memaksa keselamatan pegawai awam dirombak.
Kishida berada di bandar itu untuk menyampaikan ucapan menyokong calon parti pemerintah di sebuah pelabuhan tempatan ketika kejadian berlaku dan sewaktu orang ramai berkumpul untuk mendengarnya berucap.
Rakaman dari penyiar nasional NHK menunjukkan Kishlisa menoleh ke belakang ketika seseorang ditahan oleh pihak keselamatan dan orang ramai beredar dengan ada yang menjerit.
Beberapa saat kemudian, letupan kedengaran dan asap putih memenuhi udara.
Rakaman dan gambar dari tempat kejadian menunjukkan objek perak, seperti paip di atas tanah, tetapi tidak jelas sama ada ia menyebabkan letupan dan asap.
Pegawai kerajaan berkata, seorang lelaki ditahan kerana disyaki menghalang perniagaan.
Suspek dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 24 tahun dari wilayah Hyogo, seorang pegawai polis Wakayama.
Tiada maklumat berhubung motif kejadian dan orang ramai di lokasi panik dengan apa yang berlaku.
“Saya berlari dengan tergesa-gesa, dan kemudian, 10 saat atau lebih kemudian, terdengar bunyi kuat dan anak saya mula menangis.
“Saya terkedu, jantung saya masih berdegup kencang,” kata seorang wanita kepada NHK.
© New Straits Times Press (M) Bhd




