zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet akan membuat keputusan berhubung tindakan susulan terhadap dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memiliki saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, berkata semua pihak mesti memahami tiada sesiapa yang bersalah sehingga ia dibuktikan, justeru keputusan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dengan hanya berdasarkan satu laporan mengenainya oleh sebuah portal berita.
“Ini perlu penyiasatan dan akhir sekali, keputusan patut dibuat oleh Perdana Menteri dan Kabinet.
“Saya difahamkan, tidak lama lagi, mesti satu keputusan akan dibuat dan kita semua akan diberitahu tapi ini bukan menunjukkan kita lari daripada tanggungjawab.
“Jadi, ada hadnya. Kita perlu melakukan penyiasatan yang sewajarnya sama ada ini mengikut undang-undang dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab celahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Ramkarpal Singh (PH-Tasek Gelugor) yang mencadangkan Azam direhatkan daripada jawatannya buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dibuat terhadapnya oleh SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), susulan laporan berhubung pemilikan saham itu oleh portal berita Bloomberg.
Hassan turut membangkitkan laporan portal media berkenaan yang mendakwa pemilikan saham Azam bernilai hampir RM800,000 itu melebihi had RM100,000 yang ditetapkan bagi penjawat awam untuk memiliki saham dalam mana-mana syarikat.
Kulasegaran menjelaskan, berdasarkan pemeriksaannya, tidak ada syarat yang menetapkan penjawat awam dikenakan had tertentu untuk membuat pelaburan.
“Sebenarnya tidak ada. Yang Berhormat (YB) boleh tunjuk mana-mana, jika ada undang-undang atau yang sedemikian tetapi mengikut Bloomberg, ia ada kata sedemikian.
“Saya periksa mana-mana dan saya tidak dapat pastikan. Tiada ada syarat kukuh bagi penjawat awam mempunyai had untuk melabur.
“Adakah perkara ini (berkaitan pelaburan) sudah dimaklumkan (Azam) kepada pihak berkenaan dengan kerajaan? Saya difahamkan perkara ini sudah dilaporkan kepada kerajaaan semasa pelaburan dibuat, maka soalan itu tidak berbangkit pada masa sekarang,” katanya.
Hari ini, sebuah portal berita melaporkan Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bloomberg melaporkan, pegangan saham itu didedahkan dalam penyata tahunan Velocity Capital Bhd yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.
Berdasarkan harga saham syarikat itu pada penutupan dagangan Isnin, pegangan berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000 kata portal itu.
Azam, bagaimanapun menegaskan pemilikan saham itu dibuat mengikut prosedur dan tidak melanggar undang-undang, dan beliau tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan berhubung perkara itu.
Katanya, saham berkenaan dibeli pada tahun lalu dan sudah dilupuskan dalam tahun yang sama.
Azam berkata, laporan media berkenaan adalah berniat jahat dan mengelirukan serta tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang kerana bersifat memfitnah.
© New Straits Times Press (M) Bhd



