PM Kanada akan umum pilihan raya mengejut

PM Kanada akan umum pilihan raya mengejut

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, dijangka membuat pengumuman mengenai pilihan raya mengejut yang dijadualkan 20 September ini meskipun parti pembangkang tidak bersetuju dengan langkah itu.

Mandat baharu diperlukan untuk membawa negara itu keluar daripada krisis pandemik COVID-19.

Mentadbir negara itu sejak 2015, seperti dijangka, Trudeu dan pemimpin pembangkang bercanggah pendapat mengenai pengumuman pilihan raya.

Hari ini, beliau akan bertemu Gabenor Jeneral bagi memohon pembubaran Parlimen untuk pilihan raya diadakan kerana beranggapan hanya undi dapat mengembalikan kuasa parti Liberal sebagai kerajaan.

Walaupun menyalurkan bantuan pandemik besar-besaran, meluluskan belanjawan persekutuan dan undang-undang utama lain yang memperoleh sokongan pembangkang sejak tahun lalu, Trudeau menzahirkan kekecewaannya terhadap institusi Parlimen yang didakwanya tidak berfungsi.

Pemimpin pembangkang tidak bersetuju sambil memberi amaran pilihan raya masih terlalu awal untuk diadakan lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan pandemik COVID-19 dan kes melonjak di seluruh negara berikutan kelonggaran sekatan kesihatan awam.

Kesemua lima parti bagaimanapun bersiap sedia dengan pertarungan sengit di peti undi.

“Rancangan Justin Trudeau untuk mengadakan pilihan raya ketika pandemik kerana beliau fokus pada politik,” kata pencabar utama Trudeau, Erin O’Toole yang juga ketua parti Konservatif di Twitter.

“Ini masanya kita perlu Perdana Menteri yang ada rancangan untuk tumpukan mengenai pelan pemulihan ekonomi demi rakyat Kanada,” katanya sambil menambah pihaknya bersedia.

Kebanyakan rakyat Kanada menerima respons pandemik Trudeau. Namun, sekiranya gelombang keempat jangkitan COVID-19 meletus sewaktu kempen pilihan raya, sokongan terhadapnya mungkin akan terjejas.

“Ini satu-satunya peluang untuk beliau kerana dengan pelajar kembali ke sekolah dan universiti dalam tempoh dua minggu, kes COVID-19 pastinya akan meningkat,” kata pensyarah Sains Politik dari Universiti Winnipeg, Prof Felix Mathieu kepada AFP.

Tambah Mathieu, tempoh kerajaan pimpinan Trudeau sudah mencapai 18 bulan iaitu jangka hayat purata bagi kerajaan minoriti.

Pakar politik Kolej Ketenteraan Kingston, Prof Stephanie Chouinard, berpandangan parti Liberal memiliki peluang cerah untuk menang majoriti, sekali gus menyaksikan peluang parti Konservatif untuk menang serta membentuk kerajaan minoriti adalah tipis.

Trudeau sebelum ini dipilih semula sebagai Perdana Menteri pada 2019 tetapi hilang majoriti sewaktu penggal kedua kerana terpalit skandal.

Untuk meraih sokongan majoriti pada 20 September ini, parti Liberal mesti menang sekurang-kurangnya 170 daripada 338 kerusi Parlimen iaitu tambahan 15 kerusi ketika ini. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top