Ottawa: Perdana Menteri Kanada Mark Carney telah mengarahkan kajian semula terhadap rancangan negara itu untuk membeli armada jet pejuang F-35 dari Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua yang memetik laporan media tempatan pada Sabtu.
Perjanjian dengan Lockheed Martin dan kerajaan AS adalah untuk pembelian 88 pesawat dengan kos kira-kira AS$85 juta setiap satu.
Menurut laporan CTV News, jurucakap Menteri Pertahanan Bill Blair berkata Carney telah meminta Blair meneliti sama ada kontrak F-35 itu merupakan pelaburan terbaik untuk Kanada atau jika terdapat pilihan lain yang lebih baik.
“Kita perlu menjalankan kajian memandangkan persekitaran yang berubah dan memastikan bahawa kontrak dalam bentuknya sekarang adalah demi kepentingan terbaik rakyat Kanada dan Angkatan Bersenjata Kanada,” kata jurucakap itu.
Carney mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kanada ke-24 dan melantik kabinet baharu pada Jumaat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




