PM lawat Petronas

KUALA LUMPUR – Petronas hari ini menerima kunjungan kerja julung-julung kali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Menara Kembar Petronas.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut serta.

Delegasi Perdana Menteri disambut oleh Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik dan barisan kepimpinan syarikat serta warga kerja.

Perdana Menteri dibawa melawat ke Pusat Kerjasama Digital Petronas untuk taklimat operasi syarikat yang merangkumi usaha syarikat dan minyak ini dalam peralihan tenaga, pembangunan tempatan bagi industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas, serta pendigitalan operasi.

Ismail Sabri turut melawat Dek Tinjau Menara Kembar Petronas di aras 86 serta Pameran Berkembang Maju Bersama yang memaparkan usaha pembangunan modal insan dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat. Lawatan berakhir dengan sesi bergambar di Jejantas Udara di aras 42. – MalaysiaGazette