
Anwar berinteraksi secara langsung dengan hadirin, termasuk bertanya khabar mengenai perkembangan sekolah serta aktiviti komuniti di kawasan Tambun.
IPOH – Perdana Menteri meluangkan kira-kira 45 minit bersama masyarakat Cina di Parlimen Tambun menerusi sesi minum petang di sebuah restoran di Chemor di sini pada Sabtu.
Ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar jam 4 petang itu disambut mesra kira-kira 300 hadirin terdiri daripada pemimpin komuniti, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), guru besar serta warga sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh serta Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Terence Ng.
Suasana pertemuan berlangsung dalam keadaan santai dengan pelbagai hidangan tradisional seperti cekodok, pisang goreng, sandwic, kuih-muih, minuman soya dan teh tarik.
Sepanjang sesi tersebut, Anwar berinteraksi secara langsung dengan hadirin, termasuk bertanya khabar mengenai perkembangan sekolah serta aktiviti komuniti di kawasan Tambun.
Dalam perbualan santai itu, beberapa isu semasa turut disentuh termasuk perkembangan konflik Asia Barat, situasi ekonomi semasa dan subsidi petrol.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menzahirkan harapan agar masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut terus mengekalkan keharmonian serta memperkukuh kerjasama sesama komuniti.
Sebelum beredar, beliau turut mengambil kesempatan menandatangani kain rentang pasukan wushu dari SJKC Poi Lam sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti pelajar dan komuniti setempat.



