PM minta laporan penuh pesawat Hornet terhempas dibentang di mesyuarat Kabinet

PM minta laporan penuh pesawat Hornet terhempas dibentang di mesyuarat Kabinet

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Menteri Pertahanan sudah diminta membentangkan laporan penuh insiden pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) F/A-18D Hornet yang musnah sepenuhnya malam tadi, apabila siasatan selesai.

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata insiden yang menyaksikan dua pegawai TUDM mengalami kecederaan itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Perdana Menteri telah minta Menteri Pertahanan untuk memberikan sedikit maklum balas dan status terkini siasatan terhadap kemalangan yang melibatkan pesawat F/A-18D Hornet di Kuantan yang berlaku pada malam tadi.

“Siasatan akan dilakukan akan dibentangkan semula ke Jemaah Menteri setelah ia siap,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jemaah Menteri turut menyatakan kesyukuran berikutan kedua-dua pegawai terbabit selamat susulan kejadian.

Terdahulu, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, dilaporkan berkata, juruterbang berpangkat mejar berusia 34 tahun dan jurusensor senjata pesawat berpangkat kapten berusia 28 tahun, sempat melompat keluar dari pesawat sebelum jet pejuang itu meletup dan terhempas.

Kejadian kira-kira jam 9.05 malam tadi berlaku di Pangkalan Udara Kuantan dan kedua-dua pegawai TUDM terbabit sudah dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), pada jam 2 pagi tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top