Kathmandu: Perdana Menteri baharu Nepal berjanji untuk mematuhi tuntutan penunjuk perasaan bagi menamatkan rasuah ketika beliau mula bertugas susulan demonstrasi besar-besaran oleh golongan muda ‘Gen Z’.
Dalam kenyataan umum pertamanya sejak memegang jawatan pada Jumaat lalu, Sushila Karki berkata, kerajaannya perlu bekerja mengikut pemikiran generasi Gen Z.
“Apa yang dituntut oleh kumpulan ini ialah penamatan rasuah, tadbir urus yang baik dan kesaksamaan ekonomi,” katanya.
“Anda dan saya perlu berazam untuk memenuhinya,” katanya.
Sebelum mesyuarat bermula di kompleks utama kerajaan Singha Durbar, di mana beberapa bangunan dibakar semasa protes besar-besaran pada Selasa lalu, bekas Ketua Hakim Negara itu turut bertafakur seminit untuk mangsa yang terkorban dalam pergolakan itu.
Menurut Ketua Setiausaha Kerajaan, Eaknarayan Aryal, sekurang-kurangnya 72 orang terbunuh dan 191 cedera dalam pergolakan selama dua hari, menjadikannya pergolakan terburuk sejak berakhirnya perang saudara sedekad dan pemansuhan sistem beraja pada 2008.
Pelantikan Karki dibuat selepas rundingan sengit oleh ketua tentera Jeneral Ashok Raj Sigdel dan Presiden Ram Chandra Paudel, termasuk dengan wakil ‘Gen Z’, gelaran gerakan protes belia itu.
Ribuan aktivis muda dilaporkan menggunakan aplikasi Discord untuk menamakan Karki sebagai pemimpin pilihan mereka.
“Situasi yang saya alami, saya tidak berhasrat untuk berada di sini. Nama saya dibawa dari jalanan,” ujar Karki.
Parlimen Nepal telah dibubarkan dan pilihan raya ditetapkan pada 5 Mac 2026, sejurus selepas beliau dilantik.
Dalam ucapan kepada negara, Karki menegaskan mereka tidak akan berada di sana lebih daripada enam bulan dan berjanji akan menyelesaikan tanggungjawab sebelum menyerahkan kepada parlimen dan menteri akan datang.
Presiden Paudel, yang mengangkat sumpah Karki ke jawatan itu, pada Sabtu berkata penyelesaian damai telah ditemui melalui proses yang sukar.
Beliau menyifatkan situasi di negara Himalaya dengan 30 juta penduduk itu sebagai sangat sukar, rumit dan teruk.
“Saya merayu kepada semua orang untuk menggunakan peluang ini sebaik mungkin dalam menjayakan pilihan raya pada 5 Mac ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




