
Yamal menunjukkan tanda sokongan terhadap Palestin secara terbuka. Sanchez (kanan). Foto Agensi
MADRID – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez tampil mempertahankan bintang muda Barcelona, Lamine Yamal selepas pemain itu dituduh ‘menghasut kebencian terhadap Israel’ susulan sokongannya terhadap Palestin.
Menerusi hantaran di platform X pada Khamis, Sanchez berkata, pihak yang menganggap kibaran bendera sesebuah negara sebagai tindakan menghasut kebencian sebenarnya telah ‘hilang pertimbangan atau dibutakan oleh kehinaan sendiri’.
“Yamal hanya menyuarakan solidariti terhadap Palestin yang turut dirasai jutaan rakyat Sepanyol.
“Ini satu lagi sebab untuk kami berbangga dengannya,” katanya.
Yamal mencetuskan kontroversi selepas mengibarkan bendera Palestin ketika sambutan kejuaraan La Liga Barcelona dalam perarakan bas terbuka di Barcelona pada 11 Mei lalu.
Tindakan itu kemudian tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi termasuk kritikan daripada Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz.
Katz menuduh pemain sensasi Barcelona itu mencetuskan kebencian terhadap Israel menerusi pendirian terbukanya menyokong rakyat Palestin.
Yamal, 18, sebelum ini beberapa kali menunjukkan solidariti terhadap Palestin di media sosial dan dalam penampilan awamnya termasuk memuat naik simbol serta mesej berkaitan penderitaan rakyat Gaza akibat konflik berpanjangan dengan Israel.
Tindakan pemain muda itu menerima sokongan ramai penyokong Palestin namun turut mengundang kritikan daripada pihak pro-Israel.
Kontroversi berkenaan tercetus ketika perang di Gaza terus menjadi perhatian dunia dengan tekanan antarabangsa semakin meningkat terhadap Israel susulan krisis kemanusiaan yang berlarutan di wilayah tersebut.
Yamal kini dianggap antara pemain muda paling menyerlah dalam bola sepak dunia selepas mencipta nama bersama Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol



