PM setuju bina UTC mini di Kompleks Pasar Madani Teluk Kumbar

PM setuju bina UTC mini di Kompleks Pasar Madani Teluk Kumbar

am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) mini di Kompleks Pasar Madani Teluk Kumbar di sini, sebagai usaha mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada penduduk di kawasan Daerah Barat Daya Pulau Pinang.

Ia susulan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mengemukakan permohonan kemudahan UTC berskala kecil bagi kemudahan penduduk memandangkan UTC terdekat hanya terdapat di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) iaitu terletak agak jauh di pusat bandar George Town.

Anwar turut menyifatkan, pembinaan Kompleks Pasar Madani bernilai RM25 juta itu adalah lambang usaha kerajaan memperkasakan rakyat menerusi pendekatan yang menumpukan kepada manfaat untuk semua bukan hanya membabitkan golongan tertentu.

“Kita mungkin bangga dengan mercu tanda, restoran lima bintang, tetapi berapa ramai rakyat mampu pergi… 80 peratus rakyat pergi warung atau restoran kecil.

“Jadi ini pendekatan yang kita rasa perlu diberikan tumpuan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesti tahu fokus mereka dan melakukan sesuatu yang menjaga dan memberi faedah kepada orang ramai,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Pasar Madani Teluk Kumbar di sini, hari ini.

Projek Kompleks Pasar Madani membabitkan pembinaan bangunan dua tingkat berkeluasan 74,000 kaki persegi (kira-kira 6,875 meter persegi) di atas tanah seluas 37 ekar (kira-kira 15 hektar) itu bakal menempatkan 48 gerai pasar basah dan runcit, 30 gerai makanan dan minuman, lapan kiosk niaga serta dewan serba guna yang mampu memuatkan 720 orang selain dilengkapi lima gelanggang badminton.

Projek itu dibiayai MBPP secara berperingkat melalui tiga bajet tahunan dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Januari 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top