PM sumbang 14,000 ekor ayam untuk 29 masjid di Permatang Pauh

PM sumbang 14,000 ekor ayam untuk 29 masjid di Permatang Pauh

am@hmetro.com.my

Permatang Pauh: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan 14,000 ekor ayam untuk diagihkan kepada 29 masjid di sekitar Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Setiap masjid akan menerima agihan antara 500 ke 700 ekor mengikut jumlah kariah bagi setiap kawasan.

Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Madani Permatang Pauh, Ahmad Zhafri Mohd Nadzri berkata pihaknya lega selepas berjaya menyempurnakan hasrat Perdana Menteri.

“Ini sumbangan khas Perdana Menteri melalui kerjasama Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL).

“Pada tahun lalu sebanyak 28,000 ekor disumbangkan namun tahun ini berkurangan sedikit iaitu 14,000 ekor bersamaan 28 tan memandangkan sumbangan dibuat pada hari biasa berbanding tahun lalu diadakan selepas solat Jumaat.

“Bagaimanapun, pihak kita lega apabila dapat menyempurnakan hasrat Perdana Menteri bagi meringankan beban rakyat sempena menyambut perayaan Aidilfitri,” katanya kepada pemberita ketika mengedarkan 400 ekor ayam secara percuma di hadapan bangunan Yayasan Aman di Penanti, di sini, hari ini.

Sementara itu, penduduk, Siti Zaiton Mustafa, 70, berkata meskipun sumbangan itu dilihat kecil tetapi amat bermakna dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Hari ini kita semua tahu dunia macam-macam masalah dan kita sendiri terpaksa berdepan kesan itu.

“Jadi, sumbangan begini walaupun kecil tetapi tetap bersyukur kerana masih ada juga yang prihatin. Alhamdulillah, terima kasih Perdana Menteri,” katanya.

Program agihan yang bermula jam 5 petang itu selesai tidak sampai 15 minit apabila orang ramai berpusu pusu datang mengambil sumbangan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top