PM tak perlu layan desakan UMNO untuk awalkan PRU – Mujahid

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Parti Amanah Negara (AMANAH) kekal komited menamatkan penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan sehingga akhir 2027, sekali gus mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak perlu melayan desakan UMNO yang mahukan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal.

Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, banyak perkara serta isu keutamaan rakyat yang masih perlu dilaksanakan dalam tempoh baki setahun lebih ini.

“Dalam masa setahun lebih ini, banyak yang boleh kita lakukan untuk selesaikan isu-isu ekonomi, kesejahteraan hidup rakyat dan sebagainya.

“Jadi, saya tidak fikir kerajaan hari ini bersedia untuk mengorbankan semua itu hanya kerana terdesak dengan UMNO yang minta supaya diadakan pilihan raya awal,” katanya ditemui selepas Program Penerangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) #Stand4RCITH, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan, Naib Pengerusi AMANAH Johor Suhaizan Kayat dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mengulas mengenai hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, Mujahid berkata, pembentukan kerjasama itu pada 2022 adalah berdasarkan persetujuan bersama dengan syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, Anwar sendiri tidak mempunyai niat untuk membuang mana-mana pihak, namun menegaskan tiada sesiapa yang akan menghalang sekiranya ada pihak yang membuat keputusan untuk keluar sendiri.

“Saya tidak fikir juga Perdana Menteri berniat untuk membuang sesiapa, tetapi kalau dia (UMNO) nak pergi, tak ada siapa nak halanglah, itu saja,” katanya.

Bagaimanapun, Mujahid berkata, AMANAH sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa menerusi pelbagai program dan persiapan yang digerakkan.

“Lama dah kami bersedia. Kami sudah menggerakkan semua program, kami dah siapkan semua.

“Tetapi, bagi kami sama macam mana yang lain, kami menganggap memenuhi penggal itu adalah lebih utama,” katanya.

Menurutnya, AMANAH menganggap keutamaan ketika ini adalah menjamin kesejahteraan rakyat, berbanding memikirkan pihak mana yang akan membentuk kerajaan selepas ini.

Mujahid berkata, AMANAH yang memberi sokongan penuh kepada dasar-dasar Kerajaan MADANI berpendapat, mengukuh dan membawa kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada hilang fokus akibat terlalu memikirkan tarikh pilihan raya.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar kepada pihak yang mahu UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan untuk membubarkan kerajaan segera, sambil menegaskan sebarang perubahan kerajaan perlu dikembalikan kepada mandat rakyat.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, jika UMNO diminta meninggalkan kerajaan, terdapat dua pilihan yang boleh dilakukan iaitu mendapatkan mandat baharu melalui PRU atau mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top