PM Tambah Cuti Aidilfitri Jadi Tiga Hari

PM Tambah Cuti Aidilfitri Jadi Tiga Hari

Kerajaan mengumumkan tambahan satu hari cuti umum sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi membolehkan umat Islam meraikannya bersama keluarga dengan lebih selesa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata cuti tambahan itu akan diberikan sama ada pada Jumaat ini atau Isnin depan bergantung kepada tarikh sebenar sambutan 1 Syawal.

Perdana Menteri menjelaskan, sekiranya Aidilfitri disambut pada Jumaat ini, cuti tambahan akan diberikan pada Isnin berikutnya.

“Sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Sabtu jangan bimbang, kita beri cuti tambahan hari raya.

“Kalau raya pada Jumaat maka cuti tambahan pada Isnin 23 Mac, kalau raya pada Sabtu, cuti tambahan Jumaat, 20 Mac.

“Kenapa umum awal, supaya orang ramai boleh buat perancangan cuti Aidilfitri,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di Kota Kinabalu, Sabah.

Yang hadri sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Dengan pengumuman itu, jumlah cuti umum sempena Aidilfitri tahun ini bertambah kepada tiga hari berbanding dua hari pada Sabtu dan Ahad ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan Masyarakat supaya berhemah dalam berbelanja menjelang sambutan Aidilfitri dan tidak terpengaruh dengan budaya membeli secara berlebihan.

“Kita harus mengingatkan tentang teori ekonomi yang dikenali sebagai conspicuous consumption, iaitu kecenderungan manusia membeli sesuatu bukan kerana keperluan.

“Tetapi kerana terpengaruh dengan kemewahan dan sentimen. Akibatnya, mereka membeli perkara yang tidak perlu sehingga kehidupan dirasakan tidak pernah mencukupi, sedangkan keputusan membeli sepatutnya dibuat berdasarkan keperluan keluarga,” katanya.


Scroll to Top