PM tegaskan kestabilan negara harus dipertahankan

PM tegaskan kestabilan negara harus dipertahankan

am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Malaysia mesti terus mempertahankan keamanan dan kestabilan negara, khususnya dalam suasana serantau yang kian bergolak membabitkan ketegangan sempadan, konflik dalaman dan ketidaktentuan ekonomi di beberapa negara jiran, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar memberi contoh, kekacauan di negara jiran misalnya membabitkan ketegangan sempadan di Kemboja, pergolakan di Myanmar dan Thailand dan ketidaktentuan ekonomi di Filipina.

Berikutan itu, katanya, negara harus kekal aman dan memberi tumpuan kepada memajukan negara dalam pelbagai aspek termasuk meliputi bidang kecerdasan buatan (AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Negara kena aman, kena maju dengan AI, TVET sebab negara-negara jiran sudah kacau, Kemboja tegang di sempadan, Myanmar, Thailand bergolak. Indonesia jauh lagi stabil tetapi ada masalah rupiah.

“Malaysia ini negara aman di rantau ini, jadi jagalah. Selera orang politik tak salah (boleh) guna Parlimen kritik kalau ada cukup jumlah bawa usul itu caranya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Pasar Madani Teluk Kumbar di sini, hari ini.

Anwar menegaskan, beliau tidak akan meletak jawatan selagi mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dan tidak melakukan kesalahan seperti mencuri wang rakyat.

“Boleh tariklah mana-mana Ahli Parlimen sokong. Kalau cukup saya letak jawatan. (Kalau) tidak tunggulah pilihan raya.

“Insya-Allah saya tak turun. Kalau saya curi duit orang suruh turun tak apalah,” katanya.

Anwar berkata, jika beliau hanya mengikut cara lama, negara tidak akan maju dan dibimbangi dibelenggu dengan isu ketirisan dan salah guna kuasa.

Beliau menyatakan dalam pentadbiran sekarang, gaji menteri tidak dinaikkan, malah dipotong 20 peratus, tetapi gaji golongan pekerja bawahan meningkat sehingga 30 peratus.

Perdana Menteri turut berkongsi peranan aktif Malaysia di pentas antarabangsa dan pengiktirafan yang diberikan kepada negara ketika ini, selain mendedahkan beberapa siri pertemuan dan lawatan penting, antaranya Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang dijangka hadir pada Persidangan ASEAN di Malaysia pada Oktober ini.

Beliau turut menerima pengesahan kehadiran Perdana Menteri Itali, Presiden Korea Selatan, Perdana Menteri Jepun sempena persidangan itu.

Katanya, di Brazil baru-baru ini beliau turut diminta mewakili negara-negara membangun menyampaikan ucapan dalam BRICS yang disertai lebih 2,000 pelabur dan pemimpin dunia seperti Presiden Brazil, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

“Semua ini bukan sebab Anwar. Ini penghormatan kepada Malaysia. Bila mereka hormat kita, mereka bawa pelaburan, peluang pekerjaan. Saya bukan pergi bercuti, saya ajak mereka datang melabur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top