sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa kagum terhadap pengorbanan barisan atlet negara yang gigih berjuang bagi memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di Paris 2024.
Anwar ketika berada di Parlimen, hari ini menerima kunjungan tujuh atlet negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan meraih pingat di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.
Kunjungan hormat itu disertai pemain badminton, Lee Zi Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Cheah Liek Hou, atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet olahraga, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Eddy Bernard.
Berbangga dengan pencapaian hebat yang dilakar mereka di Paris, Perdana Menteri berkata, beliau terkesan mendengar pengalaman yang dikongsikan oleh para atlet berkenaan yang disifatkan banyak berkorban untuk negara.
“Saya berbangga dengan pencapaian hebat ini dan terkesan mendengar pengalaman mereka yang bermula di bangku sekolah dan gigih berusaha memecahkan tembok-tembok halangan untuk bergelar atlet bertaraf dunia serta menyatukan rakyat Malaysia dengan kejayaan.
“Saya juga kagum mendengar perkongsian pengalaman saudara Wooi Yik yang sanggup menahan sakit akibat jari kakinya retak dan membengkak selama 74 minit sepanjang perlawanan penentuan pingat gangsa di Paris.
“Terima kasih atas kekentalan jiwa dan pengorbanan ini demi memastikan bendera Malaysia berkibar di Paris,” tulis Anwar dalam laman sosial Facebook miliknya.
Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan itu, beliau turut menzahirkan iltizam kerajaan untuk terus memperhebat pembangunan sukan negara, khususnya menerusi peruntukkan lebih RM230 juta dalam Belanjawan 2025.
Menurut Anwar, peruntukan berkenaan antaranya disediakan untuk program podium, latihan atlet dan program Road to Gold (RTG), persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.
Selain itu, ia turut diperuntukkan untuk kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan NGO (Organisasi Bukan Kerajaan).
© New Straits Times Press (M) Bhd




