PM tiba di Kuala Terengganu tinjau keadaan, lawat mangsa banjir

PM tiba di Kuala Terengganu tinjau keadaan, lawat mangsa banjir

Kuala Terengganu: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kuala Terengganu pagi ini bagi meninjau sendiri situasi bencana banjir di negeri itu yang semakin buruk selain menyantuni mangsa.

Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabanga Sultan Mahmud pada 10.25 pagi sambut Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Anwar kemudian mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telaga Papan, Setiu sebelum meneruskan lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan Mangkok, Setiu.

Jumlah mangsa banjir di negeri berkenaan terus meningkat kepada 43,281 orang pagi ini berbanding 41,409 yang dilaporkan malam tadi, membabitkan 11,679 keluarga yang berlindung di 305 PPS di kesemua lapan daerah terjejas di negeri berkenaan.

Menurut data terkini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Besut kekal dengan angka tertinggi iaitu sebanyak 16,084 mangsa, diikuti Hulu Terengganu (7,080), Dungun (6,470), Setiu (6,332), Kuala Terengganu (2,940), Kuala Nerus (2,307), Kemaman (1,230) dan Marang (775).

Menerusi semakan di portal InfoBanjir, setakat pukul 8.15 pagi tadi 12 stesen bacaan paras air sungai membabitkan empat di daerah Hulu Terengganu, tiga di Dungun, dua di Kuala Nerus dan masing-masing satu di Kemaman, Marang dan Setiu merekodkan paras bahaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top