PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Institut Jantung Negara (IJN), ibu negara semalam.
Menurut beliau, keadaan Fadillah semakin baik namun masih memerlukan rehat yang secukupnya atas nasihat pasukan perubatan sementara Ismail Sabri pula masih memerlukan pemantauan lanjut.
“Saya dan Azizah mendoakan agar kedua-duanya dikurniakan kesembuhan yang segera, dipermudah segala urusan rawatan serta terus dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran di akaun media sosialnya.
Fadillah sedang menjalani pemulihan selepas pembedahan pintasan jantung minggu lalu manakala Ismail menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung (pacemaker) pada Jumaat lalu bagi merawat masalah rentak jantung yang tidak normal.
Ismail Sabri dimasukkan ke IJN pada Khamis selepas mengalami masalah jantung ketika memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan berhubung perbelanjaan dan pembiayaan inisiatif Keluarga Malaysia bagi tempoh 2021 hingga 2022.
Bekas Naib Presiden UMNO itu juga pernah dimasukkan ke IJN kira-kira dua minggu lalu selepas terjatuh, susulan satu kejadian dimana jantungnya dilaporkan berhenti berdenyut selama kira-kira dua saat. –UTUSAN




