PN belum putuskan nama Ketua Pembangkang, dijangka bincang Sabtu

PN belum putuskan nama Ketua Pembangkang, dijangka bincang Sabtu

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) belum menamakan pengganti baharu bagi jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat meskipun kekosongan jawatan itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada Speaker Parlimen.

Keputusan mengenai perkara itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN, Sabtu ini.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sidang Dewan Rakyat yang  bermula  Jun ini memberi ruang kepada gabungan itu untuk meneliti dan memuktamadkan calon sesuai sebelum pengumuman dibuat.

“Kita telah pun maklum lebih awal bahawa jawatan Ketua Pembangkang telah dikosongkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin dan surat rasmi juga telah dihantar kepada Speaker.

“Cuma buat masa ini kita belum menamakan pengganti sebab sidang Dewan Rakyat  bermula bulan depan. Insya-Allah menjelang sidang itu kita namakan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata mesyuarat PN Sabtu ini turut dijangka membuat beberapa keputusan penting termasuk berkaitan struktur pembangkang di Parlimen.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku penyusunan semula kedudukan tempat Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat susulan perubahan berkenaan.

Diminta memberi bayangan sama ada kerusi Ketua Pembangkang  diisi oleh parti Pas atau Bersatu, Tuan Ibrahim berkata, dia belum bersedia untuk menyatakan perkara itu. – UTUSAN

Scroll to Top