PN terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti

PN terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) hari ini mengesahkan pihaknya terbuka untuk meneroka bentuk-bentuk kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan mana-mana parti dan mereka yang berkongsi prinsip dan wawasan yang sama.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihak yang menjadi rakan strategik PN tanpa menjadi parti komponennya juga perlu mempunyai minat yang serupa.

“PN kini bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan dukungan struktur dalaman dan sokongan yang sedia terbina, termasuk pengalaman berada di dalam dan di luar kerajaan sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Namun begitu, sebagai gabungan politik yang realistik dan inklusif, PN juga terbuka untuk meneroka bentuk-bentuk kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan mana-mana parti dan pihak yang berkongsi prinsip dan wawasan yang sama, selain berminat menjadi rakan strategik PN tanpa menjadi parti komponennya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam memutuskan idea kerjasama politik ini akan diperhalusi melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai wakil parti-parti dalam PN.

“Ia bagi memperincikan terma dan syaratnya yang lengkap dan perlu. Pendekatan ini dipercayai lebih sesuai dengan realiti landskap politik negara, selain mendukung kepentingan kerjasama politik yang konstruktif demi kestabilan negara dan kesejahteraan hidup rakyat yang kini lebih tertekan tanpa jalan keluar yang meyakinkan.

“Ia juga dilihat membuka ruang kepada semua pihak dan parti untuk terbabit secara aktif dalam proses politik negara secara lebih bermakna dan sihat menerusi sebuah kerjasama politik nasional yang rasmi, matang dan tertib,” katanya.

Beliau berkata, dalam mesyuarat sama, PN juga mendapati sehingga kini MIC belum memberikan kata putus berhubung keputusan kemasukannya sebagai parti anggota PN yang dibuat pada 9 Disember tahun lalu walaupun beberapa kali diminta berbuat demikian.

“Ekoran ketiadaan pengesahan itu, selain kenyataan rasmi MIC bahawa ia tidak pernah membuat permohonan rasmi menyertai PN, maka dengan ini ditetapkan bahawa keputusan penerimaan MIC sebagai parti anggota PN yang dibuat sebelum ini malangnya tidak lagi relevan dan terbatal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top