PNAGS 2025 kembali gegar selatan negara

PNAGS 2025 kembali gegar selatan negara

PETALING JAYA: Siri Golf Amatur Kebangsaan Perodua (PNAGS) 2025 kembali membuka tirainya di wilayah selatan menerusi dua pusingan kelayakan yang menyaksikan penyertaan meriah serta persaingan sengit dari pemain bagi merebut tempat ke final kebangsaan.

Pusingan Kelayakan Johor telah berlangsung di The Els Club Desaru Coast pada 17 April lalu, manakala A’ Famosa Golf Resort di Melaka menjadi tuan rumah pusingan seterusnya, menghimpunkan pemain golf amatur terbaik negara yang bersaing untuk ke final kebangsaan.

Mohamed Izzad Ibrahim Jagkeira dari Kajang mencuri tumpuan di Johor apabila muncul juara Kategori A dengan skor bersih cemerlang 67. Pemain handicap 4 berusia 30 tahun itu, melakar lima birdie dan sembilan par, selain pernah mewakili universiti dalam NCAA Divisyen 1 ketika menuntut di Amerika Syarikat.

Kategori B pula menyaksikan Ivan Lim Jen Jean (handicap 8) meraih kemenangan dengan skor 68, manakala Nor Azhar Mohamad Noor (hcp 11) unggul dalam Kategori C. Mohd Zaid Mohd Nor (hcp 16) menewaskan empat pencabar lain melalui kiraan balik dalam Kategori D, sementara Mohd Azmie Lahad (hcp 25) menjuarai Kategori E dengan jaringan bersih 68.

Pusingan Kelayakan Melaka pula menyaksikan lebih 128 peserta tampil bersaing, termasuk pemain dari Kelantan, Pahang dan Terengganu. Pemain handicap 3, Mohd Firdaus Che Mohd Sabri, mengetuai cabaran apabila mencatatkan skor 69 untuk mengungguli Kategori Pingat A.

Turut mencatatkan kejayaan di Melaka ialah Ishak Ab Rahman (Kategori B) dengan skor 69, dan Muhammad Nazri Mahat (Kategori C) dengan 68. Mohamad Syarifudin Zainal (hcp 16) dan Mohamad Murtazdha Azdha Jaapar (hcp 21) pula masing-masing menjuarai Kategori D dan E dengan catatan sama, ditentukan menerusi sistem Tournament of Champions (TOC).

Pengerusi Pengelola PNAGS, Lokman Ishak berkata, semangat kesukanan yang ditunjukkan para peserta amat membanggakan dan mencerminkan potensi besar dalam kalangan pemain golf amatur tanah air.

“Kejohanan di Melaka memperlihatkan penyertaan luar biasa, dan ia memberi petunjuk positif terhadap pusingan seterusnya yang bakal berlangsung di wilayah utara,” katanya sambil menambah bahawa masih terdapat 11 lagi pusingan kelayakan yang akan berlangsung.

PNAGS yang mendapat sokongan Persatuan Golf Malaysia (MGA), Kementerian Belia dan Sukan serta Tourism Malaysia terus menjadi pentas utama mencungkil bakat golf amatur tanah air.

Majlis penyampaian hadiah di Johor telah disempurnakan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin, manakala di Melaka ia disempurnakan oleh Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dengan saingan menuju ke final kebangsaan yang semakin sengit, PNAGS 2025 dijangka terus mencetuskan keterujaan dan menjadi medan persaingan unggul pemain golf amatur dari seluruh negara.-UTUSAN

Scroll to Top