Washington: Persekutuan Bolasepak Amerika Syarikat (Bolasepak AS) akan menyambung semula rundingan dengan Mauricio Pochettino mengenai masa depannya selepas tempoh ‘rehat dan penilaian’ susulan penyingkiran memalukan pasukan itu daripada Piala Dunia 2026.
Kontrak pengendali dari Argentina berusia 54 tahun itu berakhir selepas kejohanan berkenaan, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai kedudukannya selepas Amerika Syarikat (AS) tewas 4-1 kepada Belgium pada pusingan 16 terbaik.
Bolasepak AS memaklumkan mereka sudah mengadakan perbincangan positif dengan Pochettino sebelum kejohanan mengenai perancangan masa depan dan kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan rundingan selepas diberi ruang untuk berehat serta menilai prestasi pasukan.
“Kami amat menghargai dan berterima kasih kepada Mauricio, barisan kejurulatihan serta semua yang terbabit dalam program ini,” kata Bolasepak AS dalam satu kenyataan.
Kekalahan besar kepada Belgium memusnahkan harapan tinggi penyokong tuan rumah yang mengimpikan kemaraan lebih jauh, selain dijangka meningkatkan tekanan terhadap hala tuju program bola sepak negara itu.
Pochettino yang dilihat menendang botol minuman kerana kecewa ketika perlawanan di Seattle masih belum mengulas mengenai masa depannya.
Selepas perlawanan, bekas pengendali Tottenham Hotspur, Paris Saint Germain (PSG) dan Chelsea itu berkata tempoh hampir dua tahun mengendalikan skuad AS menyaksikan ‘perkara yang baik dan tidak begitu baik’, namun menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang ‘menakjubkan.’
Bolasepak AS turut mengakui masih banyak usaha perlu dilakukan untuk merealisasikan cita-cita mereka.
“Kami berkongsi keterujaan terhadap potensi yang dimiliki, namun pada masa sama sedar masih banyak kerja perlu dilakukan di semua peringkat untuk mencapai sasaran kami,” menurut kenyataan itu.
Pochettino dilantik pada September 2024 dengan misi menjadikan AS pencabar serius di pentas dunia, namun cara mereka tersingkir di laman sendiri kini menimbulkan persoalan besar yang perlu dijawab oleh badan induk bola sepak negara itu dalam tempoh terdekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




