Milan: Tadej Pogacar berhasrat mahu menutup tahun yang menakjubkan dengan menyamai rekod legenda berbasikal, Fausto Coppi meraih empat kemenangan berturut-turut di Il Lombardia, perlumbaan ‘Monumen’ terakhir musim ini, esok.
Pogacar mencipta sejarah bulan lalu apabila dinobatkan sebagai juara dunia buat kali pertama.
Kemenangan di Zurich itu menyaksikannya hanya pelumba lelaki ketiga yang memenangi jersi pelangi, Tour de France, dan Giro d’Italia dalam tahun yang sama, menyamai pencapaian Stephen Roche dan Eddy Merckx.
Kini, Pogacar bersedia untuk menyamai rekod Coppi yang dicapai antara 1946 dan 1949 di perlumbaan yang dikenali sebagai ‘The Road of the Falling Leaves’ di utara Itali.
“Ini adalah musim yang sempurna bagi kami tahun ini. Seluruh pasukan bekerja dengan keras dan semuanya berjalan lancar.
“Saya pasti akan melihat kembali tahun ini sebagai detik yang sangat istimewa. Tetapi ia belum berakhir dan kami ingin menamatkannya dengan dengan keputusan cemerlang dalam perlumbaan terakhir musim ini di Lombardia,” kata Pogacar menjelang perlumaan klasik sehari itu yang dimenanginya musim lalu.
Pelumba berusia 26 tahun itu memulakan musimnya di Itali lapan bulan lalu dengan kemenangan di Strade Bianche dan terakhir meraih kejayaan di Switzerland kurang dari dua minggu lalu.
Di antara dua kejayaan itu, Pogacar meraih kemenangan kedua di Liege-Bastogne-Liege dan enam peringkat dalam setiap kemenangan di Tour de France dan Giro d’Italia, kejayaan yang menyaksikannya menyamai rekod dilakukan Coppi dan Merckx.
© New Straits Times Press (M) Bhd




