Valmeinier: Pelumba sensasi Slovenia, Tadej Pogacar, membuktikan dia belum mengangkat bendera putih menjelang Tour de France apabila melakar kemenangan solo bergaya pada peringkat keenam Criterium du Dauphine.
Pogacar memecut meninggalkan pencabar utama, Jonas Vingegaard dari Denmark dengan perbezaan 1 minit 1 saat, sekali gus merampas semula jersi kuning pendahulu keseluruhan dan memberi isyarat amaran kepada pesaingnya menjelang perlumbaan sebenar di Perancis bulan depan.
“Saya sangat gembira dapat kembali menyarung jersi kuning. Hari yang sangat baik buat kami,” kata Pogacar.
“Saya dapat jawapan yang sangat positif dari perlumbaan ini. Selepas ujian masa Rabu lalu, saya tak terlalu tertekan dan ternyata fizikal saya berada di tahap yang baik.”
Sementara itu, Remco Evenepoel dari Belgium yang memulakan hari sebagai pendahulu keseluruhan, menamatkan perlumbaan di tempat kelima, 1 minit 50 saat di belakang Pogacar.
Pogacar kini mendahului Vingegaard dengan 43 saat, diikuti pelumba Jerman, Florian Lipowitz (+54s) dan Evenepoel (+1:22s).
© New Straits Times Press (M) Bhd