Rouen: Tadej Pogacar menampilkan kayuhan bertenaga di penghujung perlumbaan bagi menjuarai peringkat keempat Tour de France (TdF), sekali gus mencatat kemenangan profesional ke-100 dalam kariernya awal pagi tadi.
Pelumba Slovenia berusia 26 tahun itu melakukan henjutan padu di laluan berbukit menuju garisan penamat untuk mengatasi pencabar utama, Mathieu van der Poel dan Jonas Vingegaard dalam penamat dramatik di Rouen.
“Ia betul-betul gaya klasik TdF, persaingan sebenar,” kata Pogacar yang nyata teruja selepas perlumbaan.
Bagaimanapun, kemenangan itu belum cukup untuk merampas jersi kuning pendahulu keseluruhan yang kekal milik Van der Poel, pelumba Belanda dari pasukan Alpecin-Deceuninck, hasil kedudukan kedua yang diraihnya.
Pogacar kini menduduki tempat kedua keseluruhan, diikuti Vingegaard di kedudukan ketiga.
Pertarungan tiga penjuru antara Pogacar, Van der Poel dan Vingegaard kembali mencuri tumpuan peminat apabila lima pendakian pada 40 kilometer terakhir mencipta pertempuran roller coaster.
“Saya rasa adrenalin sangat tinggi, dengan ramai pencabar hebat hari ini,” kata Pogacar yang memburu gelaran keseluruhan TdF keempat dalam kariernya.
Van der Poel pula menyatakan dia cuba sehabis baik demi rakan sepasukan, Jasper Philipsen yang menarik diri selepas terbabit kemalangan teruk di peringkat ketiga.
“Saya harap Jasper faham betapa saya cuba menang untuk dia hari ini,” kata Van der Poel.
Pada pendakian terakhir sebenar, Pogacar meninggalkan semua pencabarnya, namun Vingegaard dan Van der Poel kembali memberi tentangan sengit sehingga ke garisan penamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




