Pogacar sedia 'memburu' jersi kuning

Pogacar sedia 'memburu' jersi kuning

Toulouse: Juara bertahan, Tadej Pogacar memberi amaran bahawa minggu kedua perlumbaan Tour de France (TdF) walaupun singkat, akan menjadi penentu dalam pemburuan jersi kuning.

Bercakap pada hari rehat perlumbaan, pelumba Slovenia itu sempat ke tukang gunting rambut, menikmati burger dan bersantai di kafe Perancis, namun mengakui sudah tidak sabar untuk kembali ke peloton.

“Minggu pertama sangat meletihkan, penuh ledakan, tegang, tertekan dan sangat mencabar,” kata Pogacar, 26, yang turut merungut mengenai cuaca panas dan taktik bertahan pasukan Jonas Vingegaard, Visma Lease a Bike.

“Yang ini (minggu kedua) akan berlalu dengan cepat,” katanya, merujuk kepada hakikat ia lebih pendek selepas ‘maraton’ 10 hari sebelum hari rehat pertama.

Pogacar juga tertarik dengan kemunculan muka baharu seperti pendahulu semasa, Ben Healy serta bintang muda Perancis, Kevin Vauquelin, yang menurutnya ‘menggugat status quo’ peloton elit.

“Pelumba semakin ramai dan kuat. Pertarungan bukan hanya untuk podium, tetapi jersi kuning juga,” katanya.

“Bukan hanya pasukan besar, ramai yang mampu bertahan di depan. Jadi agak sukar untuk dikawal.”

Dia turut meramalkan akan berlaku perubahan dalam kedudukan pendahulu keseluruhan.

“Bukan esok (hari ini), tapi di Hautacam,” katanya merujuk kepada pendakian sukar di Pyrenees pada Khamis.

“Kita tengok sama ada Ben Healy mampu bertahan. Harap-harap dia dah penat. Saya nak rebut balik jersi kuning.”

Walaupun menjuarai edisi 2024 ketika Vingegaard kurang cergas, Pogacar nyata masih terkesan dengan kekalahannya pada 2023, terutama dalam ujian masa dan peringkat mendaki.

“Saya tak sabar menantikan minggu ini, terutamanya ujian masa mendaki di Peyragudes,” katanya mengenai Peringkat 13 sejauh 11 kilometer.

“Saya tunggu-tunggu pendakian ke Hautacam, tapi lebih teruja untuk ujian masa itu.”

Tambahnya, minggu kedua biasanya lebih ‘santai’ dengan banyak cubaan pemecahan solo, tetapi edisi kali ini berbeza.

“Akan ada jurang masa yang besar dan saya rasa ini akan beri kelebihan kepada saya. Minggu ini hampir setara dengan minggu terakhir dari segi kesukaran.”

Ditanya mengenai pesaingnya, Pogacar enggan menamakan sesiapa, namun menegaskan tekanan kini bukan di bahunya.

“Saya tak perlu serang pun buat masa ini. Mereka yang perlu cuba potong saya,” katanya.

Selepas Peringkat 10, Pogacar kini di kedudukan kedua, 29 saat di belakang Healy, manakala Remco Evenepoel di tempat ketiga, ketinggalan seminit.

Juara dua kali, Vingegaard pula di tempat keempat, 1 minit 17 saat di belakang Pogacar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top