LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menjelaskan bahawa perbincangannya bersama Paul Pogba menunjukkan petanda “positif” di tengah laporan yang mengaitkan pemain tengah Perancis itu dengan perpindahan ke Paris Saint Germain (PSG).
Pogba tidak mempunyai kontrak pada akhir musim akan datang dan masih belum bersetuju dengan perjanjian baharu bersama United.
Pemain berusia 28 tahun itu berulang kali dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Old Trafford ketika musim keduanya dengan kelab itu.
Kembali ke Perancis mungkin menarik perhatian Pogba jika PSG membuat tawaran dan United boleh memutuskan untuk menjualnya sekarang daripada berisiko kehilangan dengan perpindahan percuma.
Namun, Solskjaer menegaskan pemenang Piala Dunia itu tetap positif mengenai masa depannya bersama United.
“Saya harap setiap pemain fikir ini adalah tempat untuk memenangi piala,” kata Solskjaer kepada pemberita.
“Apabila anda menandatangani untuk Manchester United, anda sudah meningkatkan cabaran.
“Paul sudah kembali dan dia sentiasa menjadi pemain yang positif. Perbincangan yang saya lakukan dengannya semuanya positif.”
Menamatkan saingan Liga Perdana musim lalu di tempat kedua sebelum tewas di final Liga Europa menentang Villarreal, United menambahkan Jadon Sancho dan Raphael Varane dalam skuad mereka.
Penyerang England, Sancho, tiba dari Borussia Dortmund sebelum United bersetuju dengan perjanjian untuk mengikat pertahanan tengah, Real Madrid, Varane. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




