syafil.syazwan@hmetro.com.my
SUASANA Zepp Kuala Lumpur bertukar ‘rumah terbuka’ Aidilfitri apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memukau lebih 2,000 peminat dalam konsert Pentas Eksklusif Aidilfitri Beraya Dengan Saya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jumaat lalu.
Walaupun Syawal sudah melepasi fasa pertengahan, aura yang dibawa Siti Nurhaliza tetap berjaya menghidupkan suasana ‘balik kampung’ di tengah ibu kota.
Konsert yang berlangsung dua jam setengah itu bukan sekadar persembahan muzik, malah sebuah bingkisan peribadi Siti Nurhaliza buat peminat setia yang selama ini mengimpikan sebuah persembahan khusus bertemakan Aidilfitri.
Membuka tirai dengan lagu Lip Lap Hari Raya, Siti Nurhaliza yang tampil anggun berbusana merah jambu memukau penonton dengan vokal yang kekal ampuh.
Menurut Siti Nurhaliza, perancangan untuk mengadakan konsert ini sebenarnya berlaku dalam tempoh singkat, namun dia bersyukur kerana impian peminat akhirnya tercapai.
“Perancangan ini sebenarnya tidak dibuat enam bulan lebih awal. Malah, persiapannya tidak sampai sebulan. Jadi, saya melihat kita masih berada dalam suasana Syawal untuk meraikan peminat.
“Sejak dahulu lagi, peminat menyarankan supaya saya mengadakan konsert raya, khususnya sejak Ramadan lalu.
“Akhirnya, hasrat itu menjadi kenyataan apabila saya dapat mengadakan persembahan eksklusif Aidilfitri bersama peminat. Saya cuba untuk memuaskan hati semua peminat saya,” katanya.
Sepanjang kerjaya seninya yang menjangkau hampir tiga dekad, ini detik bersejarah buat penyanyi lagu Purnama Merindu itu kerana kali pertama dia mendedikasikan sebuah konsert sepenuhnya untuk lagu raya.
Siti Nurhaliza mengakui sebelum ini dia hanya terbabit dalam rakaman program televisyen, namun kali ini pengalamannya cukup berbeza.
“Selalu saya membuat persembahan sempena Aidilfitri untuk program tertentu, antaranya program RTM baru-baru ini.
“Namun, ini kali pertama dalam kerjaya saya mengadakan persembahan eksklusif yang menampilkan sepenuhnya lagu raya dari awal hingga akhir. Semua yang hadir pada hari ini adalah peminat saya,” katanya.
Satu perkara yang menarik mengenai Siti Nurhaliza adalah sifatnya yang gemar bercerita. Di antara sela lagu, dia sempat berkongsi kisah nostalgia zaman kanak-kanaknya di Kuala Lipis, Pahang.
“Saya ingin berkongsi pengalaman. Zaman banyak berubah sejak saya kecil. Saya membesar seperti kanak-kanak lain di Kuala Lipis dan meraikan Aidilfitri seperti mereka juga.
“Beraya adalah perkara paling menyeronokkan sebagai kanak-kanak dan tentunya sebab kita mendapat duit raya.
“Saya tinggal di berek polis yang mempunyai beberapa blok. Jadi, saya akan ‘menjelajah’ dari blok ke blok yang lain kerana ingin mengumpul duit raya sebanyak mungkin.
“Baju raya saya pula mempunyai empat poket. Dahulu, duit raya banyak dalam bentuk syiling sehingga poket menjadi berat dan hampir terkoyak,” katanya.
Persembahan diteruskan dengan medley lagu nostalgia menggabungkan lagu Menjelang Hari Raya nyanyian asal Datuk DJ Dave, Selamat Berhari Raya (Rahimah Rahim) dan Pulang Di Hari Raya (Noor Kumalasari).
Siti Nurhaliza kemudian membawa penonton menjiwai mood riang menerusi lagu Sesuci Lebaran dan medley Meriah Suasana Hari Raya serta Hari Raya Menjelma.
Kemuncak emosi pada malam itu pastinya ketika Siti Nurhaliza mendendangkan lagu malar segar, Air Mata Syawal.
Siti Nurhaliza juga mendedahkan rahsia di sebalik rakaman asal lagu ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah itu yang mempunyai ‘bunyi’ yang unik.
“Lagu sebegini juga penting. Jika ingin bergembira, kita boleh mendengar lagu rancak. Namun, ada ketika kita berasa sedih, teringat orang tersayang yang sudah tiada. Ada juga kisah mereka yang tidak dapat pulang ke kampung.
“Lagu Air Mata Syawal dicipta untuk suasana sebegitu oleh Pak Ngah. Ketika rakaman dilakukan, saya mengalami selesema. Jika didengar semula, suara saya kedengaran sengau seperti selepas menangis, sedangkan sebenarnya saya tidak sihat.
“Namun, keadaan itu secara tidak langsung menambahkan emosi sedih dalam lagu itu,” katanya.
Siti Nurhaliza turut memberi penghormatan kepada Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dengan mendendangkan lagu Suara Takbir dan Dendang Perantau.
Dia mengakui bahawa arwah bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail adalah pendorong utama dia mencintai lagu klasik.
“Arwah ayah banyak menjadi inspirasi dan pendorong untuk saya mendengar serta menyanyikan lagu lama. Untuk pengetahuan semua, saya juga mempunyai lagu raya nyanyian Tan Sri P Ramlee yang menjadi kegemaran saya.
“Saya pernah merakam semula lagu Suara Takbir untuk dimuatkan dalam album kompilasi. Selain itu, saya juga amat menyukai lagu Dendang Perantau,” katanya.
Kejutan diteruskan apabila Siti Nurhaliza menyampaikan lagu Mekar Hari Raya ciptaan Azmeer.
Dia mengakui menyanyikan lagu itu pada usia 47 tahun memberikan rasa cukup berbeza berbanding ketika mula-mula merakamkannya dahulu.
“Ini juga kali pertama saya mempersembahkan semula lagu Mekar Hari Raya selepas dikurniakan dua cahaya mata. Lagu ini lagu ciptaan Abang Azmeer. Saya cuba menyanyikannya semula pada usia 47 tahun.
“Saya merasakan lagu raya balada seperti ini semakin sukar untuk ditemui pada masa kini,” katanya.
Malam itu turut menyaksikan kemunculan penyanyi muda berbakat besar, Aisha Retno yang dijemput khas oleh Siti untuk berduet menerusi lagu Raya Nak Ke Mana?
Aisha turut mempersembahkan lagu popularnya, Jodoh Lebaran. Siti Nurhaliza memuji bakat Aisha yang dianggapnya sebagai anak seni yang versatil.
“Malam ini saya sangat gembira kerana dapat menjemput seorang artis yang sangat saya hormati. Dia bukan sahaja boleh menyanyi, malah boleh menari dan mencipta lagu,” katanya.
Selain Aisha, kemunculan penyanyi remaja Umairah dan Auddra turut memeriahkan suasana menerusi medley lagu raya klasik seperti Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma), Aidilfitri (Fazidah Joned) dan Selamat Hari Raya (Allahyarham Datuk Ahmad Jais).
Siti Nurhaliza menutup malam penuh warna-warni itu dengan medley lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Allahyarham Datuk Sudirman Arshad) dan Kepulangan Yang Dinanti (Allahyarham Aman Shah), diikuti dengan lagu wajib, Nazam Lebaran sebelum mengakhiri konsert dengan lagu terbaharunya, Beraya Dengan Saya.
“Lagu Beraya Dengan Saya pula menceritakan perkara yang dilalui oleh semua orang, realiti kehidupan kita ketika menyambut hari raya.
“Lagu-lagu raya ini walaupun mengalami revolusi dari segi muzik, liriknya tetap berkisar mengenai pulang ke kampung, mengingati insan yang sudah pergi serta suasana sambutan hari raya. Intinya tetap sama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




