farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) tergendala hari ini berikutan pokok tumbang antara laluan Kepong dan Rawang.
KTMB dalam kenyataan, memaklumkan kejadian itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik, yang mana perkhidmatan tren komuter dan ETS di laluan terbabit mengalami kelewatan melebihi 60 minit.
Bagaimanapun katanya, kerja-kerja pembersihan dan baik pulih sedang giat dilakukan.
“Sebarang bantuan lanjut, sila rujuk kakitangan stesen bertugas. Maklumat terkini perkhidmatan tren akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
“KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
KTMB turut berkongsi beberapa gambar dan video insiden kejadian di laman media sosial miliknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

