firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan menarik balik kad kuning pemain yang didakwa tidak layak beraksi terus mencetuskan polemik ‘panas’ dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila Presiden Penyokong Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid, tampil meluahkan rasa tidak puas hati terhadap badan induk bola sepak negara.
Menurut Faizal, dia mengikuti perkembangan setiap perlawanan membabitkan pasukan lawan yang menentang Selangor FC dan mendakwa pemain Kuching City FC dikenali sebagai Moses Atede sudah mengumpul tiga kad kuning sebelum aksi membabitkan Selangor dan Kuching.
“Selepas perlawanan Selangor menentang Kuching, saya dapat maklumat bahawa Moses Atede sebenarnya tak layak bermain sebab sudah ada tiga kad kuning sebelum ini. Bermula daripada situ, episod bantahan rasmi dibuat oleh Selangor FC dan kami di ASFC tertunggu-tunggu keputusan rasmi daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia),” katanya.
Bagaimanapun, keputusan yang diumumkan FAM untuk menarik semula kad kuning berkenaan mengundang persoalan besar dalam kalangan penyokong.
“Ternyata boleh pula kad kuning ditarik balik. Kalau macam ini, lepas ini boleh sahajalah batalkan kad merah atau gol yang dibatalkan selepas ada bantahan rasmi daripada pasukan lain,” katanya yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar.
Faizal turut mendakwa memiliki rakaman video yang menurutnya membuktikan kesalahan pemain terbabit memang wajar dikenakan kad kuning.
“Saya akan kongsikan video sahih kesalahan yang memang patut dikenakan kad kuning terhadap Moses. FAM tak patut buat keputusan membatalkan kad kuning itu,” tegasnya.
Dalam masa sama, dia turut mengkritik mutu pengadilan dan penggunaan teknologi VAR dalam saingan liga tempatan yang dikendalikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“MFL buat kempen suruh penyokong penuhkan stadium, tapi mutu pengadilan dan VAR macam tahap liga sosial. Buat apa belanja besar kalau gagal gunakan VAR sebaiknya,” katanya lagi.
Terdahulu, Selangor FC membuat bantahan rasmi kepada FAM apabila mendakwa Atede tidak layak beraksi menentang Red Giants ekoran sudah mengumpul tiga kad kuning.
Begitupun, menerusi surat balas FAM kepada Selangor FC semalam, kad kuning yang diterima Atede dalam perlawanan bernombor 99 antara Kuching City dan Negeri Sembilan berlakunya kekhilafan pengadil yang melayangkan kad kuning kepada Atede.
Berdasarkan semakan Arena Metro, insiden kad kuning ke atas Atede yang diberikan pengadil wajar selepas pemain itu dilihat menarik baju pemain Negeri Sembilan dari belakang yang nyata satu kesalahan jelas.
Isu ini dijangka akan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan, terutama membabitkan soal integriti pertandingan serta ketelusan dalam membuat keputusan disiplin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




