Polis adakan Op Patuh elak perhimpunan sempena merdeka

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis akan melaksanakan Op Patuh di sekitar ibu negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 pada Selasa ini, bagi memastikan tiada perhimpunan dianjurkan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata sebarang aktiviti menyebabkan ramai individu hadir ke sesuatu tempat hingga menyukarkan penjarakan fizikal adalah dilarang.

“Suasana sambutan kemerdekaan kali ini berbeza kerana negara dalam proses memerangi wabak COVID-19. Seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga masih dalam tempoh Fasa Satu PPN yang berkuat kuasa 17 Julai lalu.

“Justeru, polis menasihati masyarakat terus mematuhi SOP PPN bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 dan tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil terhadap mereka yang gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM62,000 terhadap 31 ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) kerana menganjur dan menyertai perhimpunan di padang Dataran Merdeka.

Noor Dellhan dipetik berkata, ahli SSR itu dikompaun RM2,000 setiap seorang selepas didapati melanggar SOP PPN kerana terbabit dalam perhimpunan bermula jam 8 malam.

Mereka berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang putih bertulis ‘Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi’ sempena program memperingati mereka yang gugur akibat pandemik COVID-19.

© New Straits Times Press (M) Bhd