am@hmetro.com.my
Gombak: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mengambil keterangan ahli perniagaan Albert Tei berhubung laporan memfitnah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Ketua Polis Negara, Datuk Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.
“Ada beberapa tindakan (siasatan) kita buat terhadap beliau, yang terbaru adalah susulan satu laporan polis mengenai tohmahan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Susulan laporan itu, kita ambil tindakan iaitu memanggil beliau dan ambil keterangannya,” katanya dalam sidang media selepas Program Community Policing di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.
Mohd Khalid berkata, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Pada 27 November tahun lalu, seorang pegawai SPRM membuat laporan polis berhubung klip video tular di media sosial yang memaparkan seorang wanita dan Albert yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap Azam.
Pada Khamis lalu, Albert ditemani peguamnya N Surendren dan Mahajoth Singh, hadir memberi keterangan di Bukit Aman.
Surendren dalam sidang media berkata, anak guamnya dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




